Saturday, April 10, 2010

Abad ke-21 'Abad Untuk Asia'

MUNGKIN ramai tidak ambil peduli atau tidak tahu sebenarnya abad ke-21 ini adalah ‘Abad Untuk Asia’ dan petanda perubahan kuasa dunia politik/ekonomi sudah beralih dari Barat ke Timur. China sudah menggantikan Jerman sebagai pengeksport utama dunia, manakala syarikat gergasi Korea Selatan, Korean Electric baru-baru ini memenangi tender menewaskan saingan utamanya, Electricite de France dari Perancis, untuk membina tiga reaktor nuklear di Abu Dhabi.

Lebih meyakinkan apabila statistik perdagangan China mencerminkan kekuatan eksportnya berbanding import, manakala reaktor Korea Selatan pula menggunakan teknologi Westinghouse. Kejayaan Asia tidak boleh diperlekehkan, selepas beberapa kerajaan berjaya menangani krisis kewangan baru-baru ini. Cara mereka mengubah krisis kepada peluang, mengukuhkan semula mekanisme pasaran bebas.Contohnya, Korea Selatan berjaya membantu golongan miskin serta menyusun semula pasaran buruhnya, pada ketika Amerika Syarikat dan Eropah, gagal berbuat sedemikian. Bagaimanapun, masih awal untuk melabelkan ini sebagai ‘Abad untuk Asia’.
Mungkin daerah pesisir pantai Korea Selatan, Jepun, Vietnam dan China Timur, yang berkongsi beberapa karakter budaya dan strategi ekonomi yang hampir sama. Tetapi daerah tengah dan barat China masih diselubungi kemiskinan; Indonesia pula mencatat budaya dan suasana ekonomi berbeza; manakala India memiliki kekuatan tersendiri.

Suasana dan persekitaran negara Asia lain juga berbeza antara satu sama lain; ada antaranya menjunjung demokrasi, manakala ada bahagian lain menjalani sistem pemerintahan kuku besi. Apa yang jelas ialah tidak wujud satu sistem ekonomi Asia.

China sebagai sebuah negara kapitalis tidak disenaraikan dalam kategori kapitalisme persendirian yang dipraktik di Jepun dan Korea Selatan. Sebahagian besar India masih kekal dengan ekonomi pertanian, disulami dengan perniagaan kecil dan sektor perkhidmatan dinamik. Asia juga tidak memiliki sebuah pusat pentadbiran, mereka tidak memiliki institusi pengurusan yang boleh dibandingkan dengan negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) atau Kesatuan Eropah (EU).

Ini penting, kerana negara Barat secara relatif lebih aman, berbanding banyak negara Asia mengalami konflik, seperti Pakistan yang mengalami konflik dalaman serta turut terpalit dengan konflik negara-negara jirannya; sementara negara yang mengelilingi Laut China Selatan sentiasa dihantui kebimbangan akan diheret dalam konflik.
Hakikatnya, jika suatu masa nanti tentera Nato dan Amerika Syarikat membuat keputusan meninggalkan Asia, ancaman perang akan meningkat, perdagangan akan terjejas dan ekonomi Asia yang dinamik hari ini akan musnah. Justeru, adalah sukar untuk percaya kewujudan ‘Abad untuk Asia’, apabila keselamatan negara Asia bergantung kepada pasukan keselamatan bukan dari benua ini.

Satu lagi kelemahan Asia berpunca daripada ketiadaan inovasi baru , satu halangan besar kepada usaha untuk memiliki ekonomi dinamik. Eksport China (sehingga hari ini) mencatat begitu sedikit nilai tambah, tetapi tenaga buruh murah yang besar; produk canggih yang dikeluarkan seperti telefon bimbit sudahpun dikuasai dunia Barat.

Jepun dan Korea Selatan lebih kreatif, tetapi masih di peringkat memperbaiki produk dan perkhidmatan yang memang asalnya dicipta di Barat. Kelemahan Asia dalam inovasi mungkin berpunca daripada sistem pendidikan, berikutan ramai pelajar benua ini apabila berpeluang ke universiti di Amerika Utara dan Eropah, mengambil keputusan untuk tidak pulang ke negara masing-masing. Kira-kira 80 peratus pelajar China di Amerika Syarikat tidak pulang ke negara mereka.

Dalam banyak hal, kemajuan dicapai Asia sebenarnya adalah cermin kepada perubahan hidup mereka kepada nilai-nilai Barat. Nilai Barat terutama membabitkan kapitalisme, demokrasi, individualistik, kesaksamaan gender dan sekularisme semakin galak diguna pakai di Asia.

Memang benar, ramai menempelak penggunaan nilai Barat di Asia, ada pula yang mempromosi apa yang dipanggil nilai Asia, seperti ‘prinsip harmoni’.
Bagaimanapun, semua usaha ini dilemahkan dengan mereka yang memiliki agenda politik. Contohnya, nilai harmoni adalah konsep falsafah yang kaya daripada ajaran Buddha dan Confusius dan ia patut diberi penghargaan lebih baik daripada disesuaikan dengan pemikiran komunis atau pemerintahan kuku besi yang menghalang demokrasi.

Ramai juga kesal kerana tiada usaha bersungguh-sungguh di India untuk memastikan falsafah dan semangat Mahatma Gandhi, seorang daripada ahli pemikir teragung dunia pada abad ke-20, terus segar.

Ramalan ‘Abad Untuk Asia’ ini juga tidak mempedulikan negara-negara Asia yang merosot dan sentiasa huru hara seperti Thailand dan Jepun. Ia tidak boleh bergantung kepada kejayaan ekonomi tempatan, tanpa mengambil kira kesan yang lebih luas membabitkan budaya dan strategi.

Bagaimanapun, kelemahan Asia tidak bermakna jaminan kepada dominasi Barat. Bersandar faktor keseragaman, nilai budaya, industri hiburan dan kekuatan tentera, negara Barat mengekalkan kekuatan mereka, tetapi bukan untuk selamanya.

Apabila kita cuba membuat perbandingan secara relatif antara kuasa Barat dan Timur, kita masih bergantung kepada perkataan yang tidak lagi boleh digunakan. Kriteria yang ada hari ini juga mungkin tidak lagi boleh diguna pakai untuk zaman sekarang. Contohnya, perkataan seperti ‘ekonomi nasional’ tidak lagi relevan hari ini.

Hampir semua produk dan perkhidmatan sudah memasuki era global. Lagi canggih sesuatu produk atau perkhidmatan, lebih pantas identitinya sebagai produk nasional akan hilang. Tiada lagi perbezaan antara telefon bimbit di Barat dan Timur, begitu juga dengan perkataan yang digunakan dalam sistem kewangan. Apabila China membeli bon perbendaharaan Amerika Syarikat, siapa yang bergantung kepada siapa?

Pertukaran teknologi mencetus keterbergantungan. Apabila Asia berkembang, Barat pula tidak menjadi semakin miskin. Mulai hari ini, kita maju bersama, atau semua kita tidak akan maju sama sekali. Tiada lagi ada percanggahan antara Barat dan Asia apabila membabitkan ancaman keselamatan global, seperti keganasan dan negara yang terbabit dengan industri nuklear.

Justeru, kita bukan memasuki ‘Abad Untuk Asia’, sebaliknya kita sedang memasuki ‘Abad Untuk Global’. Tetapi disebabkan tamadun global satu fenomena baru, membuatkan kita masih belum benar-benar memahami apa yang sedang berlaku.

Kita masih bergantung kepada konsep lama apabila menggambarkan dunia yang baru muncul ini. Ia mungkin bukan satu dunia yang lebih baik, tetapi ia adalah satu dunia yang berbeza.

No comments:

Post a Comment