Tuesday, April 12, 2011

As-Syahid Syed Qutb

Tatkala mata sedang asyik membaca riwayat hidup As Syahid syed Qutb, sedang itu juga telinga disajikan dengan dendangan nasyid ‘Ya Ilahi’ oleh B.O.I.. Allahu Akbar, benar2 terasa seperti sedang berada pada zaman Syed Qutb, tanpa di sedari menitis air mata mengenangkan pengorbanan mujahid Islam ini. Tika usia baru mencecah 60 tahun, beliau telah kembali ke pangkuan Ilahi, bagi pengkhianat Islam mungkin beliau mati atas nama pengganas negara tapi dimata umat Islam beliau adalah seorang wira, pejuang Islam! Moga Allah mencucuri rahmat keatas beliau dan moga kita juga anak2 muda remaja Islam di zaman yang penuh dengan fitnah dunia ini mendapat inspirasi dari semangat juang beliau dalam menghapuskan kezaliman dan kejahilan demi kalimah La Ilaha illa Allah Muhammad Rasullullah.

Moga kalian juga terkesan dengan riwayat hidup beliau ini..

Seorang anak murid Syed Qutb, Yusuf Al Azam menulis:

Syed Qutb dikenakan penyeksaan yang menggunung, dimaki, anjing-anjing belaan polis menggigit dan menariknya di sekeliling bilik sel, air panas dan kadangkalanya ais dicurahkan ke atas kepalanya, ditendang, ditampar dan ditumbuk, diluahkan perkataan-perkataan yang menghina dan menyakitkan hati. Tetapi kesemuanya ini menambahkan keimanannya lagi dan meyakinkan kebenaran perjuangan yang didokonginya lagi.”

ASY-SYAHID SYED QUTB RAHIMAHU’LLAH

Asy-Syahid Syed Qutb adalah seorang pemikir Islam dan penulis yang prolifik yang berjihad berhadapan dengan kerajaan yang zalim dengan penuh taqwa untuk meruntuhkan jahiliyah dan mendirikan Islam di atas keruntuhan itu. Sebagai seorang mujahid, beliau menghadapi semua tribulasi perjuangan itu dengan penuh tabah dan sabar. Allah Swt memberi hidayahNya dengan luasnya.

Walaupun beliau telah syahid di tali gantung namun regim yang menghukum beliau telah dilaknat oleh Allah SWT sehingga seorang Ketua Kemerdekaan Morocco dan pengarang yang terkenal, Allal-al-Fasi, pernah menyatakan selepas kekalahan yang memalukan Negara Mesir dalam peperangan bulan Jun 1997:

‘Allah SWT tidak akan memberi sebarang pertolongan kepada pendokong peperangan itu yang diketuai oleh pembunuh Asy-Syahid Syed Qutb.’

‘katakanlah (wahai Muhammad saw): ‘inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas dan nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’

(surah Yusuf,12:108)

KELUARGA QUTB

Nama sebenarnya ialah Syed, dengan Qutb nama keluarganya yang berasal dari Semenanjung Arab. Seorang ahli keluarganya yang tua berhijrah ke Utara Mesir dan menetap di tempat itu. Ayah Syed Qutb, Haji Ibrahim Qutb adalah salah seorang daripada keturunan tersebut. Haji Ibrahim mempunyai lima orang anak; anak lelakinya ialah Syed Qutb (anak sulung) dan Muhammad Qutb; dan tiga orang anak perempuan, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb. Nama anak perempuan yang ketiga tidak dapat dipastikan.

Adik Syed, Muhammad, adalah seorang cendekiawan yang terkemuka. Sehingga kini, beliau telah menulis lebih daripada sebelas tajuk buku menyentuh pelbagai persoalan mengenai Islam dan mendapat penghormatan serta dokongan daripada pelbagai majalah dan mereka yang terlibat dengan gerakan Islam.

Aminah Qutb pula merupakan seorang Muslimah terkemuka yang secara aktif terlibat dalam usaha-usaha menyebarkan risalah Islam bersama-sama abangnya. Kumpulan cerita ringkasnya juga diterbitkan di bawah tajuk ‘Fi Tayyar al-Hayat’. Adik perempuannya, Hamidah tidak ketinggalan di belakang si abang dan kakak. Sesungguhnya setiap keluarga Qutb adalah permata indah dan seumpamanya. ‘keluarga yang istimewa’ adalah tepat untuk merujuk kepada keluarga Qutb ini.

Keteguhan dan ketabahan serta keperibadian unggul yang dipamerkan sepanjang tempoh dugaan dan tribulasi oleh keluarga Qutb dalam abad dua puluh masa kini mengingatkan kita kepada contoh keluarga Yassir: Syed Qutb dihukum gantung, Muhammad Qutb disumbat ke dalam penjara dan dikenakan pelbagai penyeksaan dan tindakan ganas. Hamidah Qutb juga disumbat ke dalam penjara selama tujuh tahun dengan kerja berat. Aminah Qutb juga menerima nasib yang sama. Anak perempuan yang ketiga juga mengorbankan anak lelakinya, Syed Rifaat, seorang lulusan kejuteraan yang berusia 25 tahun untuk perjuangan. Beliau ditangkap dan dipenjara dan disebat dengan kejamnya, dihukum dengan pelbagai penyeksaan dan dipaksa menjadi saksi dalam pembicaraan bapa saudaranya (Syed Qutb) sendiri. Riwayatnya berakhir apabila dia meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 1965.

RIWAYAT HIDUP SYED QUTB

Syed Qutb dilahirkan pada tahun 1906 di kampung Mosha di daerah Assyut. Nama ibunya ialah Fatimah Hussain ‘Uthman, seorang wanita yang kuat beribadah dan amat patuh kepada Islam. Amat kuat kecintaannya terhadap alQuran. Si ibu mahukan anak-anak lelakinya menghafal alQuran. Syed Qutb menggambarkan kecintaan ibunya terhadap alQuran di dalam

bukunya Al Taswir al-Fanni fi al-Quran:

“duhai ibuku! Ketika desa kita berkumandang dengan kemerduan gema bacaan alQuran di sepanjang bulan Ramadan, engkau mendengarnya dengan bersungguh-sungguh dari balik tabir. Dan apabila aku yang duduk di sisimu berbuat bising seperti anak-anak yang lain, engkau melarang perbuatanku dengan isyarat dan arahan lalu akupun akan turut sama mendengarnya sepertimu. Hatiku bergembira menikmati bacaan ayat-ayat alQuran yang ajaib itu, walaupun aku masih terlalu muda untuk memahaminya. Ketika aku membesar di bawah belaianmu, engkau menghantarkan aku ke madrasah tempatan. Keikhlasan hatimu dan doamu yang membawa Allah membuka hatiku dan membolehkan aku menghafaznya. Allah mengizinkan aku menghafaznya dengan senang, dan aku duduk di sampingmu membaca ayat-ayat alQuran. Aku akhirnya menghafaz seluruh alQuran dan sebahagian dari impianmu telah dipenuhi. Duhai ibu! Bayi yang kecil, anak lelakimu yang remaja, sedang menghadiahkanmu buah-buah daripada didikan dan jagaan memanjangmu. Andainya suaranya tidak merdu, ia diambangi seri penguraian dan pentafsiran”.

Ayah Syed Qutb juga kuat pegangan agamanya dan patuh beribadah. Beliau seorang petani. Syed Qutb menggambarkan ayahnya di dalam buku Musyahid al Qiyamah fi alQuran sebagai seorang yang kuat cintanya kepada Allah. Syed Qutb menulis:

duhai ayahku! Aku tujukan tulisanku ini untuk rohmu. Aku masih seorang anak-anak apabila kau semaikan rasa takut kepada Hari Pembalasan di dalam perasaanku. Tidak pernah engkau mengherdikku, tetapi engkau mengarahkan hidupmu di depanku, seolah-olah perhitungan Hari Penentuan telah meresap ke dalam jiwamu. Engkau mengingatinya sepanjang masa, di lidahmu, di hatimu, dan di dalam rohmu. Di samping melaksanakan tugas-tugas dan hak-hak ke atas orang lain, engkau ketepikan kepentingan dirimu sendiri. Engkau pamerkan keterbukaan hatimu dan sifat pemaafmu. Engkau bertindak demikian kerana pertimbangan sebenar pada Hari Kebangkitan. Engkau memaafkan kesalahan orang lain walaupun engkau boleh bertindak serupa dengan mereka kerana engkau mengaggapkan bertindak serupa boleh mengurangi kemuliaanmu pada Hari Pembalasan. Kadangkala engkau memberikan kepada orang lain sesuatu yang engkau sendiri perlukan dan engkau menyebutkan bahawa engkau memperolehi ganjarannya di akhirat nanti. Wajahmu terbayang di dalam ingatanku. Apabila kita selesai makan, engkau akan membacakan ayat-ayat alQuran dan menyedekahkannya untuk kedua-dua ibu bapa. Kami anak-anak kecil akan turut sama membaca ayat-ayat alQuran yang dipetik di sana-sini, yang belum kami hafalkan lagi.’

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN SYED QUTB

Syed Qutb memperolehi pendidikan awalnya dalam suasana dan persekitaran kampungnya. Dia berjaya menghafaz seluruh alQuran sejak dari kecil lagi selaras dengan keinginan ibunya sendiri. Pada waktu itu, adalah suatu kebiasaan bagi ahli-ahli keluarga yang kuat beragama di Mesir menghafaz seluruh alQuran; terutamanya keluarga yang berhasrat menghantarkan anak mereka belajar di Universiti Al-Azhar. Keluarga itu akan berusaha menjadikan si anak itu seorang hafiz.

Ibu bapa Syed Qutb sangat kuat berkeinginan mempunyai anak-anak yang cerdik dan pintar yang berjaya mendapat pendidikan tinggi. Memang telah ditakdirkan oleh Allah, keluarga Syed Qutb berhijrah meninggalkan kampung itu dan menetap di Halwan, sebuah bandar satelit bagi Qaherah.

Hal ini memungkinkan Syed Qutb menyambungkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau memasuki sebuah sekolah menengah di Qaherah yakni Tajhiziah Dar al-‘Ulum. Mereka yang diterima masuk belajar di sini cumalah yang bercadang hendak terus melanjutkan pelajaran ke Dar al-‘Ulum (sekarang Universiti Qaherah) setelah tamat pelajarannya. Seperti juga Al-Azhar yang merupakan pusat pendidikan Islam, Dar al-‘Ulum merupakan institusi pengajian tinggi bagi bidang sastera dan pendidikan. Pada tahun 1929, Syed Qutb memasuki Universiti Qaherah setelah menamatkan pengajiannya di Tajhiziah Dar al-Ulum, dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera Pendidikan dalam tahun 1933. Syed Qutb kemudiannya dilantik menjadi Profesor di kolej itu kerana menghargai keilmuannya.

PERKHIDMATAN KERAJAAN DAN LAWATAN KE AMERIKA

Untuk beberapa waktu Syed Qutb membuktikan kebolehannya di Universiti Qaherah. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Nazir sekolah-sekolah di Kementerian Pelajaran. Di Mesir, jawatan ini merupakan jawatan yang berpengaruh dan dihormati. Pengarang buku Tarikh al-Tasyri ‘al-Islami ‘Allamah Muhammad al-Khuzri, seorang fuqaha’ dan sejarawan, pernah menjawat jawatan ini. Pada masa Syed Qutb memegang jawatan ini, Kementerian Pelajaran menghantar beliau ke Amerika Syarikat untuk mengkaji sistem pendidikan dan latihan moden. Beliau kembali dari Amerika Syarikat setelah berada 2 tahun di sana. Semasa di Amerika, beliau melawat pelbagai maktab. Syed Qutb pernah tinggal di Maktab Perguruan Wilson di Washington, Maktab Perguruan Grailey di Colorado dan Universiti Stamdord di California.

Di samping itu, Syed Qutb berkesempatan melawat New York, Chicago, San Francisco, Los Angeles dan banyak bandaraya lain. Beliau juga singgah beberapa minggu di England, Itali, Switzerland di dalam perjalanan pulang dari Amerika.

Pengalamannya di Amerika, walaupun dalam waktu yang singkat, terbukti amat berharga dan suatu rahmat baginya. Syed Qutb berpeluang menyaksikan kebobrokan yang dihasilkan oleh kehidupan materialistik yang bermaharajalela di negara itu. Lantas, Syed Qutb lebih berkeyakinan dengan semangat yang lebih kukuh bahawa kesejateraan umat Islam sejagat Cuma boleh dicapai melalui Islam.

MENYERTAI IKHWANUL MUSLIMIN

Tidak lama selepas kembali dari Amerika, Syed Qutb mula berjinak-jinak dengan Ikhwanul Muslimin. Beliau mula mempelajari da’wahnya dan akhirnya menyertai Ikhwanul Muslimin dalam tahun 1945. Pada waktu ini Perang Dunia Kedua baru sahaja selesai dan gerakan Ikhwanul Muslimin baru saja berkecimpung dalam bidang politik dengan mendapat sokongan masyarakat. Ikhwanul Muslimin telah mendesak beberapa kali supaya Mesir diberikan kemerdekaan dalam waktu perang itu. Walaupun tindakan ini menyebabkan populariti Ikhwanul Muslimin bertambah namun ia juga membuka pintu ke arah tribulasi dan penindasan oleh Imperialisme Inggeris dan pemerintah boneka Mesir pada waktu itu. Populariti Ikhwanul Muslimin jelas dapat dilihat daripada keahlian para petugasnya yang meningkat kepada 2.5 juta orang dalam masa 2 tahun sahaja manakala ahli biasa, penyokong dan mereka yang bersimpati dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin adalah 2 kali ganda angka itu. Pada 12 Februari 1949, Mursyid al-‘Am Ikhwanul Muslimin, Hassan Al Banna ditembak mati dan harakah itu mula diharamkan. Zaman tribulasi bermula sehinggalah berlakunya revolusi tentera di Mesir. Pada bulan julai 1952, rampasan kuasa oleh tentera berlaku dan menghentikan tempoh tribulasi yang dihadapi oleh Ikhwanul Muslimin. Tetapi ia kemudian diikuti dengan penindasan yang lebih kejam dan zalim. Di antara tokoh yang terkenal selepas zaman tekanan ini ialah Hassan al-Hudaibi, yang kemudiannya dilantik sebagai Mursyid al-Am Ikhwan dan al-Syahid ‘Abdul Qadir ‘Audah yang dilantik sebagai setiausaha. Orang yang ketiga ialah Syed Qutb sendiri yang berjasa besar kepada harakah itu dalam bidang intelektual.

Gerakan Ikhwanul Muslimin dipulihkan kembali dan dibenarkan bergerak secara halal di pertengahan tahun 1952. Zaman penindasan oleh Raja Farouk berakhir. Pemimpin dan petugas-petugas Ikhwanul Muslimin dibebaskan dari penjara dan gerakan itu sekali lagi berkembang dengan kekuatan baru di bawah pimpinan Hassan Al Hudaibi. Syed Qutb dilantik sebagai salah seorang Majlis Tertinggi Ikhwanul Muslimin dan ditugaskan bertanggungjawab untuk Lujnah Dakwah di Ibu Pejabat Tertinggi Ikhwanul Muslimin.

Sebelum 1952, Syed Qutb merupakan salah seorang pimpinan dan memberikan seluruh hidupnya untuk tujuan penyebaran da’wah dan perjuangan Islam. Beliau bertugas dengan Ikhwanul Muslimin di pelbagai jawatan. Dalam tahun 1953, Syed Qutb telah dihantarkan ke Damsyik untuk menghadiri Persidangan Kebajikan Sosial yang dianjurkan oleh Unit Kebajikan Sosial Mesir. Dalam persidangan itu, Syed Qutb menyampaikan beberapa ceramah termasuk ceramahnya yang utama bertajuk “Pendidikan Moral sebagai Jalan untuk Mencapai Jaminan Sosial”. Selepas menghadiri persidangan ini Syed Qutb menuju ke Jordan tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa Jordan. Tindakan pihak berkuasa Jordan ini adalah di bawah arahan Glub Pasha yang berkuasa di Jordan pada waktu itu. Dalam bulan Disember 1953, Syed Qutb dihantar untuk menghadiri satu persidangan di Jerusalem sebagai wakil Majlis Tertinggi Ikhwanul Muslimin. Oleh kerana Syed Qutb pada masa ini memasuki Jordan bersama dengan delegasi Dunia Islam yang lain, pihak berkuasa Jordan tidak menyekat; kalau tidak kerana itu, adalah tidak mudah untuk diizinkan masuk kerana tulisan-tulisan Syed Qutb lantang mengkritik penyelewengan Glub Pasha.

Dalam tahun 1954, “Majlis Da’wah Islam” melantik Syed Qutb sebagai Ketua Pengarang Majalah Al-Ikhwan Al-Muslimin. Syed Qutb Cuma sempat menjadi pengarang majalah ini selama 2 bulan sahaja kerana kerajaan Jamal ‘Abdul Nasser mengharamkan penerbitannya pada 10 September 1954 disebabkan penentangannya terhadap perjanjian inggeris-mesir yang ditandatangani oleh jamal Abdul Nasser dan inggeris pada 7 Julai 1954. Ia menentang perjanjian itu sebagai sebahagian daripada polisi Ikhwanul Muslimin. Selepas perjanjian ini, perselisihan berlaku di antara Nasser dengan Ikhwanul Muslimin. Anggota-anggota Ikhwanul Muslimin sekali lagi dihadapkan dengan penindasan dan penyeksaan yang lebih hebat di bawah tuduhan bahawa Ikhwanul Muslimin berkonspirasi untuk merampas kuasa. Kerajaan Mesir mengisytiharkan pengharaman Ikhwanul Muslimin dan menangkap semua pemimpinnya. Mereka dikenakan hukuman mati. Ribuan anggota dan petugas Ikhwan disumbat ke dalam penjara. Kehormatan, nyawa dan harta mereka yang mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin dicerobohi.

KETIKA DALAM TAHANAN PENANGKAPAN PERTAMA

Setelah setahun dipenjarakan, seorang wakil pemerintah datang menemui Syed Qutb di penjara. Dia membuat tawaran kepada Syed Qutb yang dalam keadaan lemah akibat penyeksaan teruk yang diterimanya. ‘andainya kamu menulis beberapa ayat memohon maaf (pengampunan) yang akan disiarkan di dalam akhbar-akhbar, kamu akan dibebaskan dari penjara ini dan terselamat daripada pelbagai kesulitan yang kamu hadapi sekarang. Kamu akan hidup bebas dan selesa di rumah sendiri.’ Jawapan dari insan bertaqwa ini ialah:

aku berasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon keampunan kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun perkataan-perkataan itu akan dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sekali-kali aku tidak akan mengucapkannya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan Dia meredai aku dan aku meredaiNya.”

Apabila tawaran ini diulangi kepada Syed Qutb dan beliau diminta meminta pengampunan, Syed Qutb tetap berkata:

andainya pemenjaraanku ini adil dan dilakukan secara hak, aku bergembira dengannya dan ini adalah takdir Allah tetapi andainya aku dipenjarakan secara bathil aku tidak sekali-kali akan melutut memohon keampunan atau keringanan.”

Pada pertengahan 1964, sesudah 10 tahun berlalu dari tempoh hukuman penjara 15 tahun itu, Presiden Iraq, ‘Abd alSalam Arif melawat Qaherah dan meminta Presiden Nasser membebaskan Syed Qutb. Walaupun dibebaskan namun Syed Qutb berada dalam pengawasan pihak polis sentiasa dan tidak dibenarkan bergerak bebas.

TANGKAPAN KEDUA DAN HUKUMAN GANTUNG

Tidakpun sampai setahun dari tempoh pembebasan bersyarat itu, Syed Qutb ditangkap lagi untuk kali kedua dan dituduh cuba menggulingkan kerajaan dengan kekerasan. Kali ini bukan sahaja Syed Qutb sahaja yang ditangkap tetapi adik-adiknya Muhammad Qutb, Hamidah Qutb, Aminah Qutb di samping ramai lagi penyokong Ikhwanul Muslimin.

Berdasarkan laporan Daily Telegraph sejumlah 20,000 orang telah ditangkap dan termasuk 700 orang wanita. Gelombang baru penangkapan ini bermula apabila presiden Jamal Abdul Nasser melawat Rusia, dan melaporkan bahawa Ikhwanul Muslimin telah berkonspirasi untuk membunuhnya yang telah dapat digagalkan. Tangkapan secara besar-besaran dilakukan. Penyeksaan dan tekanan di penjara ditingkatkan.

Selepas beberapa waktu, kes mula dihadapkan terhadap Syed Qutb oleh Mahkamah Tentera (Sirjin Harbi). Pada peringkat awalnya diumumkan perbicaraan itu akan disiarkan melalui televisyen secara langsung. Tetapi apabila Syed Qutb tidak mengaku salah dan menceritakan perihal kezaliman dan penyeksaan di dalam penjara, siaran langsung dihentikan terus dan pembicaraan diteruskan dalam keadaan tertutup. Tiada peguambela yang dibenarkan membela yang dituduh. Bekas Presiden Majlis Peguam Perancis, Mr William Thorp dan seorang peguam terkenal dari Hague Mr A.J.M Vandal mengajukan permintaan untuk membela Syed Qutb tetapi tidak dibenarkan.

Pada bulan Ogos 1966, Syed Qutb bersama 2 orang rakan seperjuangannya Muhammad Yusuf Hawwash dan Abdul Fattah Ismail telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tentera yang dihakimkan oleh jeneral Fuad al-Dagawi yang terkenal kejahatannya. Seluruh dunia memberikan reaksi mereka terhadap hukuman ini. Pemimpin-pemimpin agama, tokoh-tokoh politik, pertubuhan-pertubuhan agama dan reformasi, akhbar-akhbar dan majalah-majalah merayu agar hukuman ini diringankan. Namun seluruh permintaan ini tidak dihiraukan dan akhirnya pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, Syed Qutb dan 2 orang rakan seperjuangannya dalam Ikhwanul Muslimin digantung mati. Berakhirlah nyawa tokoh terbilang yang dilihat dan dianggap sebagai duri oleh mereka yang berfikiran sekular dan anti-agama di Mesir dan di dunia Arab ini – kembali menemui Ilahi dalam keadaan Allah meredainya.

‘Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.’

(surah Al’Imran,3:160)

‘dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.’

(surah Al’Imran,3:169)

HASIL KARYA SYED QUTB

1. Fi Zilal alQuran (di bawah naungan AlQuran)

2. Al-‘Adalat al-Ijtima’iyyah fi al-Islam (keadilan sosial dalam Islam)

3. Masyahid al Qiyamah fi alQuran (beberapa senario pada hari kiamat dalam alQuran)

4. Al-Taswir al Fanni fi alQuran (seni di dalam AlQuran)

5. Ma’rakah al Islam wa al-Ra’smaliyah (pertarungan di antara Islam dan kapitalisme)

6. Al Salam al-‘Alam wa al Islam (Dunia keamanan dan Islam)

7. Dirasat al-Islamiyyah (beberapa pelajaran tentang Islam)

8. Al-Naqd al Adbi : Usuluha wa Manahijuha (Kritikan Sastera:prinsip dan kaedah)

9. Naqd Kitab Mustaqbil al Thaqafah (suatu analisa kritikal terhadap masa depan kebudayaan)

10. Kutub wa Syakhsiyyah (kitab-kitab dan syakhsiah)

11. Nahy Mujtama’al – Islami (ciri-ciri masyarakat Islam)

12. Amerika allati Ra’aitu (Amerika seperti saya lihat)

13. Asywak (duri-duri)

14. Tifl minal Qaryah (anak desa)

15. Al Madinah Al Masyurah (madinah kota kerahmatan)

16. Al Latifah al Arba (sebuah koleksi penulisan empat bersaudara)

17. Al Qasas al Diniyah (cerita-cerita agama)

18. Kafalah al Raqiq (koleksi sajak)

19. Hilm al Fajr (koleksi sajak)

20. AlSyati’ al Majhul (koleksi sajak)

21. Mahmatah al-Syair (tugas sebenar seorang penyair dalam kehidupan)

22. Ma’alim fo al-Tariq (petunjuk sepanjang jalan)

23. Haza al Din (Inilah Islam)

24. Al Mustaqbal lihaza al Din (masa depan di tangan Islam)

25. Khasa ‘is al Taswir al Islami wa Muqawwimatihi

2 comments:

  1. assalam saya nak tanya tahukah d mana makamnya syed qtub ini. tq

    ReplyDelete
  2. tu la.. saya pun masih search di mana makam Syed Qutb..

    ReplyDelete