Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan Bulan Perubahan dan Kekuatan


sekadar gambar hiasan


Bulan Perubahan

Tibanya bulan Ramadhan, kita akan dapati banyak perubahan berlaku dalam hidup seorang muslim. Jadual tidur bangun sesetengah kita mungkin berubah. Mereka yang biasa bangun lewat hingga matahari hampir terbit, hari ini bangun seawal 4.30 pagi untuk bersahur. Jika sebulan penuh kita dilatih bangun awal, bukanlah satu kesukaran untuk diteruskan rutin ini pada bulan-bulan berikutnya.

Waktu sahur adalah waktu yang sangat sesuai untuk mendekatkan diri dan bertaubat kepada Allah. Kerana waktu sepertiga malam terakhir adalah waktu Allah Taala turun ke langit dunia dan berfirman, “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku akan menyahutnya. Dan sesiapa yang meminta kepadaKu, nescaya Aku akan menunaikannya. Dan sesiapa yang meminta ampun kepadaKu, nescaya Aku mengampuninya”. (Kenyataan ini direkod dalam Sahih Bukhari dan Muslim).

Di bulan Ramadhan juga, berlaku perubahan mendadak di surau dan masjid. Surau yang kebiasaannya dihadiri separuh saf pada waktu Subuh, kini meningkat sedikit kepada dua saf atau lebih. Alangkah baiknya jika amalan ini menjadi titik permulaan kepada rutin menghadiri solat jemaah pada bulan-bulan berikutnya.

Ramadhan juga menyaksikan perubahan dalam bacaan al-Quran. Mereka yang tidak pernah menyentuh mushaf selama 11 bulan kembali membuka helaian-helaian yang mungkin sudah berdebu atau dimakan anai-anai. Yang sentiasa membacanya saban hari akan melipat gandakan lagi bacaan pada bulan ini, bertepatan dengan bulan yang mendapat julukan Bulan Al-Quran.

Bulan Kekuatan

Bagi sesetengah orang, Ramadhan sinonim dengan keletihan dan kelesuan. Apabila tiba bulan Ramadhan, tidur makin banyak, kerja makin malas, dan produktiviti makin berkurang. Seolah-olah puasa bukan setakat menahan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa, tetapi ia juga menahan segala aktiviti harian lain yang menatijahkan kerugian kepada ummah.

Meneliti sejarah Ramadhan sejak zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kita akan dapati bahawa Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa. Ia adalah bulan yang menyerlahkan kekuatan dan kehebatan umat Islam.

Ingatkah kita peristiwa peperangan Badr? Pada bulan apakah ia berlaku jika bukan bulan Ramadhan tahun kedua Hijriyyah, iaitu selepas difardhukan puasa. Ia adalah peperangan yang paling bersejarah, pertama kali umat Islam mengangkat senjata terhadap musuh. Tentera Islam seramai 313 orang dengan hanya kelengkapan musafir mampu mengalahkan1000 bala tentera musuh dengan kelengkapan perang. Kemenangan yang penuh bergaya ini berlaku pada bulan Ramadhan.

Begitu juga peristiwa Fathu Makkah atau Pembukaan Makkah pada bulan Ramadhan tahun kelapan Hijriyyah. Nabi Sallallahu Alahi Wasallam dan para sahabat keluar dari Madinah menuju Makkah pada 10 Ramadhan, dan membukanya pada 21 Ramadhan. Jika pada peperangan Badr, bukan baginda yang merancang tarikhnya pada Ramadhan, tetapi ia berlaku disebabkan qafilah Abu Sufyan yang datang pada bulan tersebut. Berbeza dengan Fathu Makkah, baginda sendiri yang membuat jadual untuk keluar ke Makkah pada Ramadhan.

Kenapa baginda tidak menangguhkan jihad ini beberapa minggu agar para sahabat dapat berpuasa penuh dan berhari raya dengan aman damai, barulah lebih bersedia untuk berjihad menawan Makkah? Ini memberi pengajaran bahawa Ramadhan bukanlah alasan untuk menangguhkan jihad dan segala aktiviti wajib lain. Jihad tetap diteruskan dan dakwah tetap disebarkan sekalipun pada bulan Ramadhan.

Besarnya hikmah Allah memilih Ramadhan sebagai tarikh pembukaan Makkah. Agar pada bulan Ramadhan seluruh berhala yang berjumlah 360 buah yang berkurun lamanya berada di dalam Kaabah dikeluarkan dan dimusnahkan. Pada bulan yang sama baginda mengutuskan Khalid bin al-Walid untuk memusnahkan berhala Uzza, mengutuskan Amru bin al-Aas untuk memusnahkan berhala Suwaa’, dan mengutuskan Saad bin Zaid untuk memusnahkan berhala Manaf. Kesemuanya berlaku pada bulan Ramadhan. Tidak ada penangguhan tugas tersebut dengan alasan ia bulan Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan menghapuskan kemungkaran.

Pada bulan Ramadhan tahun ke-13 Hijriyyah, tentera Islam di bawah pimpinan Muthanna bin al-Harithah berjaya menewaskan tentera Parsi dalam pertempuran yang dinamakan Peperangan al-Buwaib. Bayangkan bilangan tentera Islam seramai 8000 mampu menewaskan tentera musuh berjumlah 100,000 askar. Hebatnya, jumlah tentera Parsi yang terkorban ialah 90,000 orang. Kemenangan Islam yang cukup hebat dan bergaya, dan kekalahan Parsi yang cukup memalukan. Bagaimana ia boleh berlaku, sedangkan kelengkapan musuh cukup sempurna dan bertempur pula di tempat mereka? Inilah sejarah yang terpahat pada bulan Ramadhan.

Begitu juga kemenangan tentera Islam dalam Peperangan Ain Jalut pada tahun 658 Hijriyyah, ketika mengalahkan tentera Mongol. Ia juga pada bulan Ramadhan. Sebelum itu, cukup lama umat Islam dikalahkan oleh Tatar dan mendapat penghinaan selama 42 tahun bermula tahun 616 Hijriyyah sejak pertama kali mereka masuk ke negara Islam. Akhirnya, ketika pemerintahan Saifuddin Qutuz yang hanya memerintah selama setahun melancarkan serangan yang penuh strategi terhadap Mongol. Lalu Islam kembali gemilang dan dijulang, dengan kemenangan paling bersejarah, pada bulan Ramadhan.

Inilah sejarah Ramadhan dalam tarikh umat Islam. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan perubahan, bulan kekuatan, bulan kemenangan, dan bulan kegemilangan. Bukannya bulan keletihan dan bulan kelesuan. Semoga semangat Ramadhan yang ditunjukkan oleh sejarah lalu menjadi penjana kekuatan kepada kita untuk mengukir suatu yang hebat buat Islam untuk masa kini dan akan datang.


sumber :http://abuumair1.wordpress.com/2010/08/17/ramadhan-bulan-perubahan-dan-kekuatan/

No comments:

Post a Comment