Thursday, July 21, 2011

Tahajjud Cinta


Drama Tahajjud Cinta sudah menemui para penonton TV3 di dalam slot Zehra.

Drama ini dibintangi oleh nama-nama besar industri hiburan Malaysia,dan ia juga adalah hasil karya nama yang tidak asing lagi, iaitulah Kak Erma Fatima.

Beberapa hari ini saya dapat membaca banyak komen-komen dan kritikan dilontarkan terhadap drama yang berkonsepkan 'cinta islamik' ini. Kebanyakkan kritikan ini lahir daripada teman-teman saya yang sangat cakna dan sensitif terhadap perkembangan isu-isu semasa. Kritikan-kritikan mereka inilah yang telah mendorong saya untuk cuba mendapatkan gambaran sebenar drama Tahajjud Cinta ini.

Seperti biasa,apa sahaja filem ataupun drama yang 'meletup',akan ada insan-insan yang sangat berdedikasi, mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk meng-upload-kan bahan-bahan tersebut ke dalam youtube. Hasil pautan di facebook oleh salah seorang teman saya, saya mendapat akses kepada salah satu petikan drama itu di dalam youtube.

Tertekan!!

Itu adalah kesimpulan awal saya setelah menonton petikan pendek daripada drama tersebut.

Ada juga sahabat-sahabat saya yang mewujudkan facebook page untuk menyatakan bantahan terhadap tayangan drama ini. Saya hargai dan memandang positif usaha dan suara mereka. Ada juga yang mempersoalkan tidakkan tersebut,dan tidak kurang ramai juga yang optimis dengan usaha itu lalu mempromosikanya di akaun facebook mereka.

Namun hakikatnya,saya lebih mual membaca komen-komen dan kritikan-kritikan daripada orang-orang yang mengkritik tanpa kelayakan,adab dan hujah. Jauh sekali berkredibiliti!

Saya akan huraikan serba sedikit kritikan saya terhadap golongan-golongan ini yang pada saya lebih mencemarkan realiti imej pelajar-pelajar jurusan agama, timur tengah khususnya.

Cermin Diri Sebelum Mengkritik

Tindakan mengkritik sesuatu yang tidak selari dengan ajaran agama adalah satu tindakan yang sangat baik. Kalau boleh bagi alternatif,lagi lah baik.Namun sebelum mengkritik,ada eloknya jika kita jengok-jengok seketika diri kita terlebih dahulu. Kita begitu agresif menyatakan bantahan terhadap drama Tahajjud Cinta ini dek pelakonya melakonkan babak-babak yang tidak bersesuaian dengan pakaian dan watak yang 'soleh' dan 'solehah'.

Bagaimana pula dengan kita yang memegang watak tersebut di dalam alam realiti ini? Apa gunanya kita mencemuh drama tersebut kononya menyimpang daripada ajaran agama,tetapi dalam masa yang sama,wall akaun facebook kita penuh dengan pautan video-video yang terang-terangan bertentangan dengan syariat Allah Azza Wa Jalla? Pautan trailer filem-filem Hollywood,Bollywood dan Korea yang jelas mendedahkan aurat dan mustahil dihasilkan tanpa babak-babak lucah. Tidak cukup dengan itu,diserikan lagi dengan klip video lagu-lagu inggeris,melayu,korea,dan hindustan yang sangat-sangat jarang penyanyi dan pelakonya litup berpakaian.

Ada juga yang menulis status tidak berpuas hati dengan drama Tahajjud Cinta,namun kemudiannya disusuli dengan komen-komen di antara lelaki dan perempuan yang mirip kepada akhlak yang ditonjolkan di dalam drama tersebut. Gedik sana,gedik sini,si ustaz kononya sangat menghargai si ustazah,si ustazah pula sangat mengagumi si ustaz. Saya tidak nampak dimana logiknya kita mengkritik sesuatu yang kita sendiri melakukannya.

Itu belum saya ceritakan tentang mereka-mereka yang berpakaian sebijik seperti watak Seri di dalam drama Tahujjud Cinta,kemudian sibuk meninggalkan komen kononya-kononya sangat kecewa dan frust menonton video perkahwinan seorang artis.Ingatkan kecewa dengan adat dan pakaian yang tidak selari dengan tuntutan agama,rupanya kecewa sebab artis lelaki tersebut sudah berkahwin.Aduhai...Tidak pula mereka mengkritik video tersebut yang pada saya lebih jelas menonjolkan agama hanya sebagai sebahagian ritual adat perkhawinan semata-mata.

Banyak lagi perkara-perkara common sense yang boleh disentuh,tetapi saya tidak berhajat untuk memanjangkan kritikan di dalam hal ini,anda boleh semak sendiri status-status jiwang karat oleh sebahagaian ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang 'sangat islamik' di facebook!

Berbalas-balas wall-post,bercintan-cintun secara public sudah menjadi perkara ringan dan biasa.Sungguh tidak malu!

Saya tidak kata semua,sebahagaianya...

Refleksi

Pada pandangan saya yang kerdil ini,saya melihat penghasilan drama Tahajjud Cinta tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu kesilapan. Ia juga sepatutnya dilihat sebagai satu drama yang sedang 'menganjing' perangai kebanyakan kita yang membawa imej agama dengan pembawakan yang tunggang terbalik.

Saya jarang keluar dengan mengenakan 'pakaian agama',namun begitu,saya sangat mengagumi lelaki dan perempuan yang begitu teguh dengan 'pakaian agama' ditempat-tempat dimana ia dilihat sebagai ganjil,hatta di Jordan sendiri. Bukan mudah untuk kita berjalan mengenakan kopiah,jubah,tudung labuh,dan berpurdah dikhalayak yang majoritinya berpakaian sangat jauh sebaliknya. Namun begitu,imej pakaian sahaja belum memadai wahai teman-teman.

Di dalam petikan drama Tahajjud Cinta yang saya tonton,saya sempat menonton satu babak yang sangat biadap di mana si ustaz membuka purdah si ustazah untuk melihat wajahnya sambil memang tangan,kemudian dengan tenang si ustaz itu meminta maaf. Babak tersebut dilakonkan seperti mereka sedang berdua-duaan diatas sebuah bukit.Mungkin si ustaz itu sedang muroqqib (menemani untuk tujuan keselamatan) si ustazah tersebut.

Saya tidak dapat memahami signifikan babak itu. Pun begitu,saya berharap agar babak tersebut boleh dijadikan sebagai teguran yang sangat tajam kepada kita pelajar-pelajar agama. Supaya kita lebih serius dan bersungguh-sungguh di dalam menjaga batas-batas pergaulan.Memang babak seperti itu tidak pernah berlaku dikalangan kita (Alhamdulillah),tetapi apakah jaminan ia tidak akan berlaku pada masa-masa akan datang jika kita tidak serius menjaga apa yang sepatutnya?


Kesimpulan

Saya tetap tidak bersetuju dengan banyak babak-babak di dalam drama Tahujjud Cinta setakat yang saya tonton (saya tidak bercadang untuk menyambung),namun begitu saya percaya,fenomena seperti ini boleh kita atasi bermula dengan kita memperbaiki dan memperbetulkan sikap kita terlebih dahulu. Kita lihat semula di mana sebenarnya akhlak kita pada timbangan neraca al-Qur'an dan as-Sunnah,kemudian,selepas kita mulakan dengan diri kita,kita ajak pula sahabat-sahabat kita kearah kebaikan yang sama.

Dakwah dan tarbiyah ini memang satu proses yang perlahan dan melelahkan. Jika kita ingin mengubah industri hiburan negara,ia tidak akan dapat dimulakan dari atas ke bawah,ia tetap akan mengikut tabiat dakwah yang sama,dari bawah ke atas.

Saya tahu,tulisan saya ini akan mengguris hati ramai pihak kalau mereka membaca,tetapi begitulah putaran dunia,jika kita berani untuk mengkritik orang lain,kita juga sepatutnya bersedia untuk dikritik semula. Jika anda ingin membenci saya dan membuang saya daripada senarai kawan-kawan facebook anda,saya tidak kisah,sebab ini bukan kali pertama.

Ketahuilah,dalam banyak ketika,orang yang mengkritik kita itu lebih sayang kepada kita daripada mereka-mereka yang buat tak tahu, dan sentiasa mengiyakan kehendak kita.

Apa yang saya coretkan ini adalah sebenarnya hasil apa yang saya belajar daripada kesilapan-kesilapan saya sendiri,banyak kritikan saya diatas adalah perkara-perkara yang saya sendiri mungkin pernah terlibat sama.

Manusia ini memang kesemuanya melakukan kesilapan,dan yang terbaik daripada kalangan mereka yang membuat kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Semoga Allah Azza Wa Jalla mengampuni kita,dan memilih kita menjadi sebahagian daripada orang-orang istimewa yang memperbaiki urusan dan imej agama ini agar ia lebih mudah diterima oleh manusia kebanyakan।

kredit to http://azlanshahjb.blogspot.com


No comments:

Post a Comment